fb fb fb fb fb

Cubaan 19 PATI masuk Malaysia gagal

BUKIT KAYU HITAM, 12 Februari- Cubaan 19 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar memasuki Malaysia secara haram gagal selepas mereka ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berkata mereka ditahan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sini dalam dua operasi berasingan.

"ATM menahan sekumpulan tujuh individu yang cuba memasuki Malaysia melalui kawasan ladang getah berdekatan sempadan Malaysia-Thailand sekitar pukul 9.15 pagi.

"Sejam kemudian, sekumpulan 12 lagi individu ditahan tidak jauh dari lokasi pertama yang terletak di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia," katanya menerusi kenyataan.

Kesemua PATI ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan lapan wanita, berusia antara 21 hingga 44 tahun.

Kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Turut dirampas, 12 telefon bimbit, wang, dua pasport serta 17 kad pengenalan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan hampir RM9,000.

Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.


(Kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah)

Media Baharu