Cuaca panas, risiko strok haba boleh bawa maut – pengamal perubatan

Foto hiasan/ RTM

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Orang ramai diingatkan agar tidak memandang ringan kesan pendedahan berterusan kepada cuaca panas melampau yang boleh mengundang risiko serius kepada kesihatan, termasuk kelesuan haba (heat exhaustion) dan strok haba (heat stroke).

RINGKASAN BERITA AI
  • Strok haba berlaku apabila suhu badan melebihi 40°C, menjejaskan fungsi otak, menyebabkan pertuturan kabur dan boleh membawa koma serta kematian.
  • Pesakit strok haba lazimnya tidak berpeluh, jadi bantuan tidak perlu menunggu simptom berpeluh.
  • Warga emas dan pesakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis serta obesiti lebih terdedah akibat kawalan suhu badan kurang berkesan.
  • Pencegahan: kekal terhidrat, tinggal di tempat teduh, pakaian longgar, kurangkan aktiviti luar; kecemasan sejukkan dengan air, tuala basah atau pek ais.

Pengamal perubatan, Datin Dr Hazariah Abu Hassan berkata kelesuan haba berlaku apabila suhu badan berada antara 37 hingga 40 darjah Celsius dan lazimnya tidak menjejaskan fungsi otak.

Menurutnya, gejala yang dialami termasuk pening, sakit kepala, loya, muntah, degupan jantung laju serta peluh berlebihan.

“Namun strok haba adalah keadaan lebih serius apabila suhu badan melebihi 40 darjah Celsius sehingga menjejaskan fungsi otak, percakapan menjadi tidak jelas dan boleh menyebabkan koma,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, pesakit strok haba lazimnya tidak berpeluh, sekali gus orang ramai tidak boleh menunggu simptom tersebut sebelum memberikan bantuan.

Tambahnya, keadaan strok haba yang tidak dirawat dengan segera boleh membawa kepada kematian.

Golongan berisiko tinggi termasuk warga emas serta individu yang menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan obesiti lebih terdedah berikutan sistem kawalan suhu badan yang kurang efisien.

Sehubungan itu, orang ramai disaran mengambil langkah pencegahan seperti memastikan tubuh badan kekal terhidrat dengan minum air secukupnya, termasuk minuman berunsur elektrolit sekiranya berpeluh berlebihan.

Selain digalakkan berada di tempat teduh atau sejuk, memakai pakaian longgar serta mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas.

Dalam situasi kecemasan, mangsa perlu segera dialihkan ke kawasan teduh, disejukkan dengan air atau tuala basah, serta diletakkan pek ais di bahagian tertentu seperti leher, ketiak dan celah paha.

“Strok haba boleh diselamatkan sekiranya dikesan awal dan tindakan segera diambil,” katanya.