(Sungai Nenggiri)
GUA MUSANG, 11 Mei- Cuaca panas berpanjangan menyebabkan air sungai di muara Sungai Nenggiri di sini, Kelantan semakin surut hingga menampakkan lumpur, beting pasir dan batu.
Situasi itu memberi kesan kepada penduduk di Kampung Bertam Baru yang menggunakan bot sebagai pengangkutan utama untuk mencari rezeki, dengan sebahagian mereka terpaksa menghentikan aktiviti buat sementara waktu bagi mengelak risiko keselamatan.
Pemandu bot, Shaari Mustapa berkata, mereka yang mahir sahaja akan meneruskan pekerjaan mengemudi bot bagi menghantar penumpang atau menangkap hasil ikan sungai.
"Biasa cuaca panas mereka (pemandu bot dan nelayan) akan berhenti aktiviti buat sementara, melainkan mereka yang betul-betul mahir dengan keadaan sungai. Tambah pula, Sungai Nenggiri ini banyak cabaran, jadi kena tahu mana lokasi ada kayu atau batu, kawasan air dalam dan cetek," katanya.
Ketika ini, terdapat 20 orang yang masih aktif melakukan pekerjaan di sekitar Sungai Nenggiri yang merupakan sebahagian daripada laluan Sungai Kelantan.
(Sungai Nenggiri)