JEDDAH, 1 Jun - Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melarang jemaah haji berjalan kaki dari Mekah ke Arafah dan tidak berada di luar khemah ketika masyair, disebabkan cuaca panas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jemaah haji juga dilarang mengunjungi lokasi popular seperti Masjid Namirah dan Jabal Rahmah antara 10 pagi hingga 4 petang memandangkan waktu itu mencatat suhu paling panas dan boleh membahayakan kesihatan.
"Sebagai langkah alternatif, kerajaan Arab Saudi akan mempertingkatkan sistem pengangkutan bagi memastikan pergerakan jemaah di antara lokasi utama ibadah haji berjalan lancar dan selamat," katanya.
Operasi masyair ialah kemuncak keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi tempoh lima hari bermula pada 8 hingga 13 Zulhijah untuk menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.
Datuk Dr Mohd Na'im berkata, arahan terbaharu itu dikeluarkan bagi memastikan keselamatan jemaah haji tahun ini terjamin susulan amaran suhu panas ekstrem yang dijangka berlaku ketika kemuncak haji tahun ini.
Sebelum itu, beliau menghadiri pertemuan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah pada Simposium Haji Perdana ke-49 di Jeddah, hari ini.
Simposium tersebut menjadi platform mengetengahkan pelbagai pengalaman ilmiah dan intelektual serta membincangkan salah satu konsep utama dalam fiqh haji kontemporari.
Ia disertai Menteri Haji, ulama terkemuka, ketua pejabat dan misi haji serta pakar berkaitan dari dalam dan luar negara.