SHAH ALAM, 8 April - Kluster COVID-19 melibatkan 11 institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) masih dalam keadaan terkawal.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya memantau rapat perkara itu dengan nasihat dan saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita memang pantau rapat dengan pihak KKM dan juga bahagian sekolah dan juga kita sudah menyediakan beberapa pelan intervensi sekiranya berlaku apa-apa kes termasuk bilik isolasi dan juga peringatan kepada guru dan pelajar mengenai peningkatan kes COVID-19 ini," katanya selepas program Jerayawara Pendidikan Madani di Glenmarie Hotel Golf & Resort, di sini.
KKM sebelum ini menyarankan sektor pendidikan melakukan saringan susulan 11 daripada 18 kluster COVID-19 yang dilaporkan pada minggu epidemiologi ketujuh, 2023 adalah kluster pendidikan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan enam kluster itu melibatkan institusi pendidikan KPM iaitu tiga kolej dan masing-masing satu sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah.
Lima kluster lain pula melibatkan empat maktab dan satu taska.
Tambah Fadhlina, kementerian belum membuat sebarang penetapan untuk mewajibkan saringan berkenaan.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk memantau pergerakan anak mereka terutama ketika musim perayaan Aidilfitri kelak.
“Wabak COVID-19 ini sudah lama dan semua pihak mengetahui faktor jangkitan dan langkah mencegahnya.
“Justeru, semua pihak terutama ibu bapa pelajar perlu memastikan anak yang bergejala atau tidak sihat supaya membuat saringan sebelum hadir ke sekolah,” katanya.