fb fb fb fb fb

COVID-19 : Kakitangan GiatMARA tidak terkesan dengan pengurangan tenaga kerja

(Pengerusi GiatMARA, Datuk Abdul Halim Mansor bercakap kepada media selepas Majlis Anugerah Tahunan GiatMARA Negeri Kelantan 2021)

KOTA BHARU, 17 Mei - Seramai 2,111 kakitangan GiatMARA tidak terkesan dengan pengurangan tenaga kerja berikutan penularan wabak COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, ia berikutan, kesemua pekerja berusaha meneruskan tanggungjawab mereka walaupun secara bekerja dari rumah mahu pun ke pejabat bagi mendapatkan dokumen yang diperlukan bagi memastikan perkhidmatan diteruskan.

Katanya, jumlah tersebut melibatkan perkhidmatan kakitangan di 231 pusat GiatMARA di seluruh negara.

Walaupun kebanyakkan syarikat terkesan dengan pemberhentian pekerja, namun pihaknya berusaha bagi memastikan tidak ada seorang pun antara warga kerjanya yang terkesan.


(Foto fail)

"GiatMARA ini kita mengambil tanggungjawab kepada semua kakitangan kita yang mana di waktu kita senang kita bersama dan susah kita bersama, keseluruhan daripada 14 negeri, 231 pusat tidak ada satu pun yang diberhentikan perkhidmatan kerana pengurangan tenaga kerja kerana mereka terpaksa berusaha untuk meneruskan kerja," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Anugerah Tahunan GiatMARA Negeri Kelantan 2021 di Hotel Perdana, di sini.

Pada majlis itu, seramai 23 kakitangan GiatMARA dari 15 pusat di negeri itu menerima anugerah dari pelbagai kategori bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Dalam pada itu, Abdul Halim yang juga merangkap Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, pihak Kementerian Sumber Manusia diharap dapat turun padang dan memberi penerangan pelaksanaan Akta Gaji Minima.

Ia berikutan, masih ada sesetengah pihak yang masih tidak memahami peruntukan di bawah akta tersebut.

Media Baharu