fb fb fb fb fb

COVID-19: Calon SPM positif boleh duduki semula peperiksaan April depan

JOHOR BAHRU, 2 Mac - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didapati positif COVID-19, boleh menduduki semula peperiksaan tersebut pada sidang kedua April depan, kata Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Pelajar diminta tidak khuatir dan hanya perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

"Sekiranya calon positif tidak perlu risau. Mereka perlu maklumkan perkara itu kepada pihak sekolah dan ia akan disahkan oleh Pengetua. Di sini akan ada surat deklarasi bertulis atau bukti paparan dari MySejahtera. Mereka nanti boleh duduki peperiksaan dalam sidang kedua April depan," katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau perjalanan hari pertama SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, di sini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata seramai 407,097 calon peperiksaan SPM di seluruh negara memulakan hari pertama peperiksaan mengambil kertas Bahasa Melayu pukul 8 pagi tadi.

Daripada jumlah tersebut 50,317 calon mengambil kertas tersebut di 368 pusat peperiksaan di negeri ini.

"SPM tahun ini melibatkan lebih 55,000 petugas peperiksaan di seluruh negara dan 21,000 guru pemeriksa kertas," katanya.

(Radzi meninjau perjalanan hari pertama SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2)

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 147 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di negeri ini akan dijadikan pusat mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor, 12 Mac nanti.

"Tempat mengundi yang ditetapkan di SMK terlibat tidak melibatkan bilik peperiksaan calon SPM. Kementerian pada awal memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak menggunakan SMK bagi tujuan tersebut namun akur atas kekangan tertentu," jelas beliau.

Media Baharu