KUALA LUMPUR, 7 Februari- Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) sedang membangunkan ‘Buku Panduan Pempengaruh’ dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk para pempengaruh dan pemimpin pendapat utama atau key opinion leaders (KOL).
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF Mediha Mahmood menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, buku panduan itu akan menjadi garis panduan ringkas sebagai rujukan mudah bagi pempengaruh mendapatkan penjelasan dan pemahaman terhadap peraturan yang termaktub dalam Kod Kandungan.
“Melalui penglibatan aktif pempengaruh dalam pembikinan buku panduan ini, kami berazam untuk menerbitkan satu sumber rujukan yang selari dengan keperluan mereka dan memudahkan pematuhan terhadap garis panduan beretika,” katanya.
Jelasnya, CMCF menyasarkan untuk melancarkan permohonan ulasan (RFC) pada separuh kedua tahun ini daripada pempengaruh untuk memastikan pandangan mereka menjadi teras dalam penghasilan dokumen yang komprehensif dan mudah difahami kelak.
“Dalam membuat dasar, tonggak falsafah kami ialah keterlibatan pelbagai pihak yang berkepentingan. Kami percaya bahawa mereka yang terkesan dengan polisi harus mempunyai suara dalam pembikinannya.
“Justeru kami membuka pintu seluas-luasnya kepada pempengaruh dan pemegang taruh untuk menyertai CMCF dalam menyumbang buah fikiran dalam perbincangan dasar dan termaklum dengan amalan terbaik,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai gesaan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil supaya pempengaruh mengamalkan kawal selia kendiri dan menerbitkan kandungan secara bertanggungjawab, Mediha berkata saranan itu amat baik dan selaras dengan kepentingan untuk menerapkan amalan beretika dan berhemah dalam menghasilkan sebarang kandungan.
Beliau berkata pengawalseliaan kendiri adalah tunjang utama di CMCF dan selari dengan keadaan semasa di seluruh dunia yang menyaksikan industri dan komuniti diberi kepercayaan dan diperkasakan untuk mengawal selia amalan masing-masing berdasarkan piawaian ditetapkan.