fb fb fb fb fb

CMCF perkenal garis panduan, pensijilan pempengaruh platform digital 2026

Foto Reuters

KUALA LUMPUR, 12 Disember - Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) akan memperkenalkan garis panduan pempengaruh serta program pensijilan ‘Trusted Creator’ pada tahun depan bagi meningkatkan akauntabiliti dan tingkah laku beretika dalam kalangan pempengaruh digital di Malaysia.

Pengerusi CMCF, Datuk Rafiq Razali berkata, inisiatif itu menyokong usaha Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke arah mewujudkan ekosistem kandungan lebih bertanggungjawab, termasuk cadangan membangunkan kod etika rasmi untuk pempengaruh.

Tambah beliau, garis panduan itu merangkumi standard pendedahan komersial, perlindungan pengguna dan tadbir urus etika, manakala pensijilan ‘Trusted Creator’ bertujuan mengiktiraf pempengaruh yang mematuhi standard tersebut.

"Malaysia memerlukan ekosistem pempengaruh yang dipandu bukan oleh hukuman, tetapi prinsip.

"Inisiatif ini mencerminkan hala tuju industri ke arah ketelusan, akauntabiliti dan keprihatinan terhadap khalayak. CMCF bersedia memimpin perbincangan ini bersama semua pihak berkepentingan dalam keseluruhan rantaian nilai kandungan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut CMCF, kajian terbaharu Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menunjukkan impak besar pempengaruh terhadap wacana awam, sekali gus mengukuhkan keperluan kerangka etika seragam di Malaysia.

"CMCF komited untuk terus bekerjasama dengan MCMC, Kementerian Komunikasi, platform media sosial, komuniti pempengaruh, agensi pengiklanan dan rakan industri lain dalam merangka serta melaksanakan garis panduan dan program pensijilan ini," jelasnya.

Usaha itu sebahagian daripada matlamat berterusan CMCF bagi memastikan ruang digital Malaysia terus berkembang secara beretika, inklusif dan bertanggungjawab.

Pada masa sama menyokong aspirasi negara melahirkan ekosistem kandungan lebih selamat, bertanggungjawab serta mampan.

EZA YUSMAWATI YAACOP