fb fb fb fb fb

Cemar negara & terlibat jenayah, Agong titah tarik darjah kebesaran

Sultan Ibrahim bertitah dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, serta Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 7 September- Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran akan menarik semula Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sekiranya penerima darjah terlibat dengan sebarang jenayah.

Baginda bertitah, penerima pingat dan darjah perlu jujur dan amanah serta menjaga tingkah laku agar tidak mencemarkan nama negara.

"Sekiranya ada penerima mencemarkan nama negara atau lakukan jenayah maka segala darjah pingat akan ditarik balik. Good bye to it.

"Sehubungan itu saya telah arahkan kerajaan untuk semak senarai banduan di semua penjara, mana-mana banduan ada darjah kebesaran makan ianya akan ditarik balik.

"Hal ini hanyalah untuk Darjah Persekutuan dan Wilayah Persekutuan, darjah negeri-negeri lain saya tidak campur," titah baginda.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa suka cita atas pencapaian Kerajaan Perpaduan.

Baginda menitahkan agar semua pemimpin dan anggota pentadbiran terus menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara.

Baginda turut menitahkan rakyat agar terus bersatu-padu dan menghayati Rukun Negara.

Baginda bertitah dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, serta Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda di Istana Negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE