KUALA LUMPUR, 23 April- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menaja 4,500 penggiat seni tanah air menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, caruman bagi setiap orang ialah RM23.30 itu, menjadikan jumlah keseluruhan tajaan bernilai RM104,850.
Beliau berkata tajaan tersebut adalah 10% daripada jumlah caruman SKSPS bernilai RM232.80 setahun yang perlu dibayar oleh setiap pencarum bagi skim perlindungan berkenaan.
"Jumlah RM232.80 itu untuk setahun, jadi pecah kepada 12 bulan, itulah jumlah yang anda bayar setiap bulan. Untuk tahun ini, 90 peratus dibayar oleh kerajaan manakala 10 peratus lagi oleh FINAS,
"Jadi penerima (penggiat seni) tidak perlu bayar apa-apa (untuk tempoh setahun),” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara PERKESO dan FINAS di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dengan disaksikan oleh Fahmi serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengerusi FINAS Datuk Kamil Othman.
Dalam pada itu, beliau turut bercadang menggunakan konsep sama bagi membantu kumpulan seni muzik yang masih di peringkat kajian.