fb fb fb fb fb

Cadangan tutup Pejabat UNHCR di Malaysia, usaha baiki pengurusan pelarian

(Foto fail)

KUANTAN, 8 Oktober- Cadangan menutup Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia adalah satu proses transisi oleh kerajaan untuk mempunyai kad sendiri yang digunakan pelarian dan pencari suaka yang datang ke negara ini.

Sehubungan itu idak timbul isu hubungan dengan badan antarabangsa itu terputus kerana Malaysia masih memerlukan kemahiran UNHCR dalam menguruskan pelarian di negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, satu transisi perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan mempunyai kad tersendiri untuk digunakan bagi tujuan pelarian dan pencari suaka, namun perkara itu mengambil masa lama untuk dilaksanakan.

"Jadi, isunya bukan kewujudan atau tiadanya pejabat UNHCR, isunya ialah bagaimana kerajaan Malaysia akan menguruskan kehadiran pelarian dan pencari suaka dengan cara lebih kemas dan sistematik. Ini tidak sama sekali mengubah pendirian Malaysia dari segi perikemanusiaan. Selama ini pun kita tidak meratifikasi konvensyen tentang pelarian tetapi kita sangat berperikemanusiaan dan sentiasa beri bantuan sebaik-baiknya," kata Saifuddin ketika mengulas mengenai kajian terhadap cadangan menutup pejabat UNHCR di Malaysia oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad yang dilaporkan media baru-baru ini.

Datuk Rodzi dalam sidang media selepas sebuah program di Putrajaya berkata, pihaknya sedang meneliti penutupan operasi pejabat UNHCR di negara ini, dalam usaha membaiki pengurusan pelarian tanpa campur tangan asing.

Katanya, MKN perlu memperkukuh mekanisme yang dirancang dan memastikan pelaksanaan mantap, baik dan teratur sebelum disyorkan kepada kerajaan.

(Datuk Seri Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota bercakap pada sidang media
selepas menghadiri Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Indera Mahkota/BERNAMA)

Media Baharu