fb fb fb fb fb

Cadangan TAPS di Sungai Lebah Salleh perlu persetujuan peringkat Kerajaan Persekutuan

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Mohamad Fazli Mohamad Salleh

BATU PAHAT, 24 Oktober -Cadangan kerajaan Johor membina Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Lebah Salleh, Kota Tinggi memerlukan persetujuan peringkat Kerajaan Persekutuan berikutan perjanjian bekalan air dengan Singapura.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata air Sungai Johor akan ditakungkan di TAPS Sungai Lebah Salleh bagi penyaluran bekalan air di kawasan Pusat Pengumpulan Data Sedenak, Kulai.

"Beberapa kali sudah bincang dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) setakat ini postif, cuma belum ada kata putus, sebab sungai Johor ini melibatkan dua buah negara , jadi dia bukan setakat kerajaan negeri dengan pihak kementerian tetapi melibatkan Kementerian Luar Negara dan Peguam Negara," kata Mohamad Fazli, di sini.

Beliau berkata demikian selepas melawat Projek Jalan Kampung Rahmat dan Estet Sri Jalan Gading. 

Sementara itu, beliau berkata paras air Empangan Linggui di Kota Tinggi yang menghubungkan empat Loji Rawatan Air (LRA) berada pada tahap memuaskan dan tidak mempunyai masalah. 

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago mengatakan tujuh empangan bekalan air termasuk Linggiu dikenal pasti berisiko tinggi dan boleh mendatangkan masalah sumber air kepada LRA serta kawasan sekitarnya sekiranya berlaku sebarang kegagalan fungsi empangan terlibat termasuk faktor cuaca.

Beliau juga turut menjelaskan masalah bekalan air di Parit Sulong, di sini yang melibatkan 20,000akaun pengguna yang dijangka akan selesai sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ia berikutan kerja-kerja Projek Menaik taraf Agihan Air Parit Sulong dengan anggaran kos kira-kira RM18 juta yang sedang dilaksanakan bakal siap menjelang  Februari tahun hadapan. 

TETITIA YUSOFF