SUNGAI GADUT, 25 Februari - Penduduk di sekitar Port Dickson diingatkan agar tidak berasa gusar sekiranya terdengar sebarang bunyi letupan atau pesawat dalam tempoh terdekat ini.
Komandan Akademi Tentera Darat, Brigedier Jeneral Ajis Sharif berkata ia kerana bunyi letupan dan pesawat itu adalah sebahagian daripada aspek latihan yang dilakukan oleh Tentera Darat untuk segmen demonstrasi dinamik yang mempamerkan keupayaan aset dan kompetensi anggota dalam konsep Peperangan Konvensional.
Tempoh kira-kira dua minggu sejak pengumpulan anggota dan latihan dimulakan pada 17 Februari lalu, latihan yang diadakan akan berlarutan sehingga waktu Sambutan Hari Tentera Darat pada 1 Mac nanti.
"Saya harap ia tidak menjadi kegusaran kepada mereka terutama menyaksikan pergerakan ramai anggota tentera di perairan sekitar pada dan ia boleh disaksikan dengan jelas daripada kawasan perkelahan di Teluk Kemang dan pada masa sama penerbangan pesawat udara TUDM dan tentera darat serta bunyi letupan yang akan dilaksanakan setiap hari sehingga kira kira pukul 12 tengah hari," kata beliau selepas ditemubual di konti radio NEGERIfm di sini.
(Komandan Akademi Tentera Darat, Brigedier Jeneral Ajis Sharif di konti NEGERIfm berkongsi maklumat kepada pendengar)
Sambutan itu juga mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson yang akan menyiarkan secara langsung sambutan bermula dari pukul 8.30 pagi di kawasan Teluk Kemang.
Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin adalah tema bagi Sambutan Hari Tentera Darat pada tahun ini.