fb fb fb fb fb

Buli: KPM siasat kes pelajar dibelasah dalam belukar

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 6 Januari- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan kes buli melibatkan pelajar dibelasah dalam belukar yang tular di media sosial sejak semalam bagi memastikan kes itu dapat diselesaikan segera.

Pihak sekolah juga telah diminta untuk memastikan tindakan disiplin diambil ke atas pelajar yang bersalah, selain mengarahkan salah laku terbabit direkodkan.

“KPM telah mengambil langkah-langkah awal bagi menangani kes ini berdasarkan kepada Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan Bawah KPM.

“Ini termasuk dengan menghubungi ibu bapa atau penjaga, menjalankan siasatan yang telus dan terperinci, memaklumkan kes kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada semua pelajar terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, KPM menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaan mereka.

“Pada masa sama, KPM menyeru semua pihak termasuk media dan orang ramai untuk mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada dengan tidak menularkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam salah laku buli.

“Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] memperuntukkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam kes jenayah tidak boleh didedahkan dan perlu dilindungi,” ujarnya.

KPM turut meminta seluruh masyarakat memberi kerjasama untuk tidak menormalisasikan salah laku buli.

Katanya, KPM menyediakan empat saluran utama bagi membolehkan pelajar, ibu bapa dan masyarakat untuk membuat aduan mengenai kes buli dan gangguan seksual iaitu menerusi talian khas Aduan Buli, aplikasi WhatsApp, emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

ARTIKEL BERKAITAN
Ajakan ponteng ditolak, pelajar 15 tahun pukul rakan bertalu-talu dengan topi keledar

SITI AISHAH BINTI MD ISA