fb fb fb fb fb

Ajakan ponteng ditolak, pelajar 15 tahun pukul rakan bertalu-talu dengan topi keledar

Tangkap layar klip video berdurasi 25 saat memaparkan seorang pelajar sekolah menengah berpakaian sukan sekolah sedang memukul seorang remaja dipercayai rakannya, sambil dirakam oleh individu lain.

KUALA LUMPUR, 6 Januari- Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang tular menerusi media sosial kerana memukul berkali-kali bahagian muka rakannya menggunakan topi keledar telah ditahan polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki petang semalam berkenaan  anak lelakinya telah dipukul oleh rakan sekolahnya di tepi Jalan Prima Pelangi, Bukit Prima Pelangi, Segambut Dalam, Kuala Lumpur.

"Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berpunca apabila mangsa tidak mahu mengikut suspek untuk ponteng sekolah.

"Ekoran daripada itu, suspek tidak berpuas hati dan telah memaksa mangsa menaiki motosikal dan dibawa ke lokasi tersebut sebelum dipukul berkali-kali di muka dan dada menggunakan topi keledar.

"Semasa kejadian berlaku, terdapat rakaman video yang telah dibuat oleh rakan-rakan suspek dan video tersebut telah tersebar di media sosial,"katanya.

Jelas Ahmad Sukarno susulan daripada itu, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas suspek seorang lelaki berumur 15 tahun kira-kira pukul 1.22 pagi bagi membantu siasatan selepas diserahkan ibunya di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Polis turut merampas topi keledar yang disyaki digunakan semasa kejadian dan kes disiasat lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Menurut Ahmad Sukarno, suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.

“Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222,” katanya.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 35 saat memaparkan seorang pelajar sekolah menengah berpakaian sukan sekolah sedang memukul seorang remaja dipercayai rakannya, sambil dirakam oleh individu lain.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE