fb fb fb fb fb

BUDI95: Komuniti e-hailing sambut baik pengecualian had siling petrol RON95

Foto hiasan / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 September - Pengecualian had siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada pemandu e-hailing, membuktikan keprihatinan kerajaan kepada keluhan rakyat.

Sekretariat Gabungan E-hailing Malaysia (GEM), P Vishnovartan berkata, pengumuman itu memberi kelegaan besar kepada ribuan pemandu yang berjuang di atas jalan raya, demi menyokong kelangsungan ekonomi negara.

Komuniti e-hailing turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan MADANI khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pengumuman tersebut.

“Inisiatif ini mencerminkan bahawa Kerajaan MADANI bukan sahaja cakna terhadap cabaran yang dihadapi rakyat marhaen, tetapi juga komited untuk memastikan kebajikan semua golongan termasuk kami dalam sektor e-hailing sentiasa terpelihara,” katanya kepada RTM.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Good Service Driver (GSD), Cheah Ewe Liang berkata pendekatan inklusif diambil kerajaan sebagai langkah proaktif yang tepat pada masanya.

Ia selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan MADANI serta Perdana Menteri yang cakna dengan mengumumkan pengecualian berkenaan melalui inisiatif BUDI95," katanya.

Timbalan Setiausaha Persatuan E-hailing Terengganu (PETA), Nor Azlina Mahmood pula menyifatkan pengumuman tersebut merupakan langkah signifikan dalam mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin mencabar.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI atas keprihatinan melalui pengumuman pengecualian had siling petrol RON95 menerusi BUDI95. Inisiatif ini sangat bermakna kepada kami pekerja gig dan rakyat marhaen," katanya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, semua rakyat Malaysia layak menerima siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) hingga 300 liter sebulan.

Menurut MOF, pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan itu dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID