fb fb fb fb fb

BUDI MADANI mekanisme terbaik penyaluran subsidi lebih sistematik & berkesan

Timbalan Dekan, GSGSG UUM, Prof Madya Dr. Kamarul Azman Khamis

CHANGLUN, 31 Mei- Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI merupakan satu mekanisme terbaik dalam memastikan penyaluran subsidi diesel kepada golongan sasar dapat dilakukan dengan lebih sistematik dan berkesan.
 
Timbalan Dekan, Ghazali Shafie Graduate School Of Government (GSGSG) Universiti Utara Malaysia, UUM, Prof Madya Dr. Kamarul Azman Khamis berkata ia juga antara usaha kerajaan bagi mengelak berlakunya ketirisan atau penyelewengan bahan api itu.
 
"Kalau kita melihat ada kartel-kartel (sindiket) yang mengambil kesempatan dalam ketirisan ini. Apabila kerajaan mengambil pendekatan kepada rakyat, kartel-kartel ini akan dapat dibendung.

"Saya harapkan agar program ini (BUDI MADANI) akan berterusan dalam membantu masyarakat dalam kita menangani pengaliran wang keluar, ketirisan minyak keluar (penyeludupan) dan sebagainya,"katanya.
 
Bercakap kepada RTM di Changlun, Profesor Madya Dr. Kamarul Azman berkata program BUDI MADANI membolehkan kerajaan mengenalpasti dan menyalurkannya kepada golongan yang benar-benar memerlukan subsidi minyak diesel.
 
Beliau yakin, ia hanyalah permulaan dan penambahbaikan akan dilakukan dari semasa ke semasa termasuk mengenalpasti sektor lain yang perlu diberi perhatian.
 
Isnin lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI iaitu melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
 
Menerusi BUDI MADANI, pemberian bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
 
Ia merangkumi lima elemen iaitu pengangkutan awam, nelayan, kenderaan komersial terpilih bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0), individu serta petani termasuk pekebun kecil.
 
Secara keseluruhannya, BUDI MADANI akan memanfaatkan 700,000 pemilik kenderaan diesel.
 
Daripada jumlah itu, 300,000 kenderaan diesel tersebut ialah milik persendirian, manakala bakinya kenderaan komersial.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE