Budaya inovasi murid diperkasa menerusi Program InoBest Labuan

Program Inovasi Bestari atau InoBest peringkat Labuan yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Labuan dengan kerjasama SK Lubok Temiang menjadi platform utama mengetengahkan bakat

LABUAN, 3 April – Usaha memupuk budaya inovasi dalam kalangan murid sekolah rendah di Labuan terus diperkasa apabila pelbagai hasil ciptaan kreatif berjaya dihasilkan dan dipamerkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif menyerlahkan daya fikir kritis murid dan membuka ruang bagi idea baharu dimanfaatkan dalam pembelajaran sekolah.
  • 16 sekolah terlibat, 14 pempamer dan 42 murid mempamerkan pelbagai hasil inovasi.
  • Semua hasil inovasi dikumpul untuk diperluaskan penggunaan ke sekolah-sekolah lain di Labuan.
  • Program disokong oleh Jabatan Pendidikan Labuan selaras Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 untuk melahirkan murid kreatif dan kritis.

Inisiatif tersebut bukan sahaja menyerlahkan daya fikir kritis murid, malah membuka ruang untuk idea baharu dimanfaatkan dalam sistem pembelajaran di sekolah.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Labuan, Ag Rozlan Manan berkata, Program Inovasi Bestari (InoBest) peringkat Labuan yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Labuan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang menjadi platform utama mengetengahkan bakat tersebut.

Sebanyak 16 sekolah terlibat dengan 14 pempamer, membabitkan seramai 42 murid yang mempamerkan pelbagai hasil inovasi masing-masing.

“Semua inovasi ini dapat diketengahkan untuk dimanfaatkan di Wilayah Persekutuan Labuan, bagi terus mencemerlangkan pendidikan di wilayah ini, khususnya di sekolah rendah. Ia selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, yang menekankan sasaran untuk melahirkan murid yang mempunyai pemikiran kreatif dan kritis melalui penghasilan pelbagai inovasi”, katanya.

Semua hasil inovasi yang dihasilkan akan dikumpulkan untuk diperluaskan penggunaannya ke sekolah-sekolah lain di Labuan.

Beliau turut berharap program seumpama ini dapat diteruskan bagi menyemarakkan lagi budaya inovasi dalam kalangan murid dan guru, sekali gus meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.