fb fb fb fb fb

Budak lelaki cari lokan meninggal dunia selepas terima rawatan

Anggota bomba melakukan bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa

KUALA LUMPUR, 8 Julai - Kanak-kanak lelaki yang terjatuh ketika mencari lokan di Taman Tasik Teratai Fasa 2 Serendah, Hulu Selangor petang semalam disahkan meninggal dunia.

Mangsa berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Selayang pada pukul 8.55 malam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Penguasa Polis (SP) Ahmad Faizal Tahrim berkata, polis menerima panggilan MERS 999 berhubung kejadian pada 6.04 petang.

"Mangsa tergelincir ke dalam tasik, manakala rakannya meminta bantuan orang awam berhampiran.

"Pada 6.52 petang, kanak-kanak lelaki itu berjaya dibawa keluar. Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu kemudian tiba dan memberi pertolongan awal kerana masih ada denyutan nadi.

"Dia kemudian dihantar ke Hospital Selayang namun meninggal dunia sejam kemudian," katanya menerusi kenyataan malam Ahad.

Beliau mengingatkan orang ramai agar lebih peka dengan aktiviti anak dan anggota keluarga, serta mengutamakan keselamatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN