KUALA LUMPUR, 4 Julai- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera di betis kiri selepas diserang seekor anjing ketika berjalan pulang dari taman permainan bersama neneknya di kawasan perumahan Lake Edge, Puchong, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian berlaku pada pukul 8.10 pagi ketika mangsa sedang berjalan bersama neneknya, sebelum tiba-tiba diserang anjing jenis kacukan German Shepherd yang dipercayai terlepas dari rumah pemiliknya.
Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang wanita berusia 60 tahun yang merupakan pemilik haiwan berkenaan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati wanita tersebut tidak memiliki lesen anjing yang sah daripada pihak berkuasa tempatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan atas kesalahan kecuaian yang membahayakan nyawa berkaitan haiwan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Muhamad Farid turut menasihati semua pemilik haiwan peliharaan supaya bertanggungjawab memastikan haiwan mereka dijaga rapi dan tidak membahayakan keselamatan awam.