SHAH ALAM, 14 Mei- Sebanyak 38 panggilan berhubung kes cubaan bunuh diri diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Negeri Selangor sejak 1 Januari hingga 12 Mei lalu.
Daripada jumlah itu, 32 kes berjaya diselamatkan, manakala enam lagi kes menyaksikan individu terlibat gagal diselamatkan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, pihaknya memandang serius dengan kekerapan panggilan berkenaan cubaan bunuh diri yang disifatkan agak tinggi, menjangkau hampir setiap minggu.
(Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis)
"Antara faktor cubaan bunuh diri ini melibatkan masalah putus cinta, keduanya tekanan perasaan disebabkan masalah kesihatan mental, dan yang ketiga berkaitan faktor kewangan,
"Ini menjadi solusi terakhir mereka dengan bertindak membunuh diri bagi menyelesaikan masalah," jelasnya kepada pemberita selepas majlis Jalinan Mesra Aidilfitri JBPM Negeri Selangor di Shah Alam.
Mengulas mengenai Monsun Barat Daya yang dijangka melanda negara dari 5 Mei hingga September ini, beliau berkata pihaknya kini sedang giat melakukan pemantauan di kawasan titik panas pembakaran terbuka sekitar Selangor dalam menghadapi sebarang kemungkinan.