fb fb fb fb fb

BN sedia lakukan penjenamaan parti seiring perkembangan semasa

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-17, Butterworth/ BERNAMA

BUTTERWORTH, 21 Disember - Barisan Nasional (BN) bersedia untuk melakukan penjenamaan semula atau membentuk satu entiti baharu selaras dengan perkembangan landskap politik semasa dan kekangan peruntukan perlembagaan gabungan itu.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Dewan Tertinggi BN memandangkan perlembagaan gabungan yang digubal sejak 51 tahun lepas menetapkan sebarang perubahan hanya boleh dibuat dengan persetujuan sebulat suara semua parti komponen.

"Tiba masanya bagi saya untuk membincangkan dalam Dewan Tertinggi BN sama ada kita akan melakukan penjenamaan semula atau membentuk entiti baharu yang berbeza daripada struktur sedia ada.

"Ini bukan sahaja melibatkan perlembagaan, malah soal penjenamaan juga boleh diputuskan apabila keputusan awal dicapai kelak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-17, di sini hari ini.

Perubahan identiti dan perlembagaan Barisan Nasional (BN) dianggap penting untuk memastikan gabungan itu kekal relevan dan dinamik, terutamanya dalam mengurus hubungan antara parti komponen serta ahli bersekutu seperti Makkal Sakti.

Bagaimanapun, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menegaskan proses transformasi memerlukan kesepakatan semua pihak, memandangkan perlembagaan sedia ada masih memberikan kuasa veto kepada parti komponen teras sekiranya ada pihak yang tidak bersetuju dengan sebarang perubahan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata beliau menghargai ketaatsetiaan dan kesabaran rakan-rakan pimpinan dalam Friends of BN sehingga perubahan dalam BN dilakukan.

BN hanya mempunyai empat parti teras, iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), manakala Friends of BN berada dalam kategori parti bersekutu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI