fb fb fb fb fb

Blok asrama SMK Tinggi Setapak terbakar, punca masih dalam siasatan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 29 April- Sebuah blok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Tinggi Setapak di Jalan Ayer Jerneh dilaporkan terbakar, malam tadi.

Menurut Komander Operasi Kanan, Japari Tajuddin dalam satu kenyataan, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.43 malam.

"Kesemua 91 pelajar yang menghuni asrama tersebut dilaporkan selamat," kata kenyataan itu.

Ini berikutan kejadian itu berlaku ketika kesemua pelajar berada di surau menunggu waktu solat Isyak.

"Kebakaran tersebut melibatkan tingkat satu bangunan asrama dan berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 9.40 malam," tambah kenyataan itu.

Bagaimanapun, insiden itu telah menyebabkan 80 peratus bahagian asrama pelajar lelaki musnah.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM