KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha membendung aktiviti songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, antara kolaborasi yang telah dilaksana termasuklah mewujudkan Pelan Tindakan Mengakhiri AIDS 2030.
Peserta turut diberi bimbingan keagamaan dan kesedaran kesihatan melalui empat siri program Mukhayyam bersama komuniti itu.
"Seterusnya... penglibatan KKM dalam program yang diurus oleh JAKIM seperti Pelan Tindakan Sosial Islam (2019-2025).
"Ia merupakan jawatankuasa khas berkenaan isu LGBT yang beragama Islam di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2020 dan yang terkini telah bersidang pada April 2023," katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Ahmad Saad berkenaan isu LGBT di Dewan Rakyat di sini.
(Datuk Mohd Na'im Mokhtar)
Dalam pada itu Mohd Na'im berkata kerajaan berpendirian tegas tidak menerima sebarang aktiviti LGBT khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.
JAKIM turut konsisten dengan pendirian kerajaan itu, namun dalam konteks hak asasi bawah Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tidak menolak hak tertentu kepada golongan LGBT seperti pendidikan.
"Seperti yang disebut ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim, golongan ini mempunyai hak asasi tertentu bawah perlembagaan sebagai contoh hak pendidikan dan sebagainya.
"Sebab itu pendekatan yang diambil dalam konteks JAKIM ialah untuk bekerjasama dengan agensi lain untuk memberikan kesedaran dan tindakan untuk memastikan golongan ini kembali kepada fitrah yang sebenar dan dapat disedarkan daripada perbuatan yang dilakukan," katanya.