fb fb fb fb fb

Bimbang keharmonian rakyat terjejas, perbuatan hina Islam diharap tidak berulang - Idris

(Datuk Idris Ahmad ditemu bual media selepas menyampaikan sumbangan YaPEIM kepada asnaf
di Masjid Bandar Tun Razak, Jengka, Maran)

Maran, 17 Julai - Semua pihak diingatkan supaya tidak melakukan sebarang penghinaan terhadap agama Islam.

Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, perkara seperti itu diharapkan tidak berulang kerana bimbang keharmonian dan keamanan yang dicapai rakyat pelbagai kaum boleh terjejas.

Beliau berkata umat Islam khususnya orang Melayu cukup sensitif dengan isu agama dan mereka sanggup berkorban untuk mempertahankannya.

"Cuma saya nak mengingatkan bahawasanya dalam soal bab-bab ini jangan duduk main bab agama itu, saya memberikan peringatan, bab agama ini sensitif bagi orang Melayu, itu kena ingat, jangan main-main bab agama ini, bab agama bab yang sensitif, jangan usik, kadang-kadang kita tahu dia sembahyang pun tidak tapi bab akidah, bab agama jangan sentuh," kata selepas beliau menyampaikan sumbangan kepada 100 orang asnaf oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Masjid Bandar Tun Razak, Jengka, di sini.


(Datuk Idris Ahmad menyampaikan sumbangan YaPEIM kepada asnaf di Masjid Bandar Tun 
Razak, Jengka, Maran) 

Tambahnya lagi, bagi umat Islam pula, gurauan menggunakan perkataan atau istilah yang merujuk kepada hal-hal berkaitan agama perlu dielakkan kerana dibimbangi boleh merosakkan akidah.

Sementara itu mengulas mengenai seorang murid lelaki berusia sembilan tahun dilapor patah kaki kanannya selepas didakwa dihempas ke atas kerusi oleh seorang guru KAFA sewaktu sesi pengajaran pada 6 Julai lepas, Idris berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut sebelum memberikan sebarang pandangan.

Media Baharu