fb fb fb fb fb

BES RTM dinobat Anugerah Pendukung Seni

Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah (tiga, kiri) bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Penganugerahan Anugerah Seni Negeri Selangor 2025 di Seksyen 14, Shah Alam. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris (empat, kanan).

SHAH ALAM, 20 Oktober - Bahagian Berita Ehwal Semasa (BES) Radio Televisyen Malaysia (RTM) dinobatkan selaku penerima Anugerah Pendukung Seni kategori media bersempena dengan Majlis Anugerah Seni Negeri Selangor 2025, malam tadi.

Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap peranan media dalam memperkukuh seni dan budaya di peringkat nasional.

Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) pula menerima Anugerah Pendukung Seni bagi kategori jabatan kerajaan/korporat, manakala Pertubuhan Kebudayaan Sugam Malaysia menerima anugerah yang sama bagi kategori pertubuhan.

Anugerah Khas Juri dimenangi A. Bavany.

Sementara itu, Tokoh Seni Negeri Selangor 2025 menjadi milik Pengarah Urusan Warisan Sound, Mohd Khair Ghazali.

Selaku penerima utama, beliau menerima wang tunai RM3,000, trofi, serta watikah pelantikan rasmi daripada kerajaan negeri.

Penganugerahan itu juga sebagai pengiktirafan atas dedikasi dan sumbangan besar Mohd Khair dalam memartabatkan seni serta budaya tempatan.

Anugerah berkenaan disampaikan Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.

"Pengiktirafan ini adalah galakan untuk penggiat seni terus berjuang dalam bidang seni budaya termasuk muzik dan cabang seni lain, selaras matlamat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai bakat seni di Selangor," katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID