KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebarang rombakan kabinet Kerjaan Perpaduan akan berlaku pada esok.
Perkara itu disebabkan ia belum mempunyai keputusan berhubung rombakan berkenaan seperti diperkatakan pelbagai pihak.
"Belum... Belum. Tadi saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara berkenaan mesyuarat kabinet esok.
"Esok selepas mesyuarat kabinet saya ke Sabah dan kemudian ke Abu Dhabi," katanya ketika ditemui media selepas majlis penutup Khazanah Megatrends Forum 2023 di sini.
Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan Perdana Menteri dijangka mengumumkan rombakan Kabinet selepas mesyuarat Jemaah Menteri.
Dalam perkembangan lain mengenai situasi jerebu melanda beberapa negeri ketika ini, Anwar berkata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad disaran untuk berbincang dengan rakan sejawatnya dalam ASEAN termasuk Indonesia bagi mencari penyelesaian masalah jerebu rentas sempadan.
Menurut Nik Nazmi, setakat ini, tiada kebakaran berlaku yang boleh dikaitkan dengan situasi jerebu melanda negara, namun data Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi menunjukkan berlaku pembakaran di luar negara.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim)