KUALA LUMPUR, 16 Disember - Kerajaan komited memastikan Belanjawan 2026 mampu mengimbangi antara pembangunan ekonomi dan tanggungjawab fiskal selaras kerangka Ekonomi MADANI serta Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850).
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata merealisasikan hasrat itu, langkah utama melibatkan konsolidasi fiskal yang berdisiplin dengan sasaran pengurangan defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 berbanding 3.8 peratus pada 2025.
“Ia selaras dengan sasaran jangka sederhana untuk mencapai defisit tiga peratus atau lebih rendah.
“Pengurusan hutang yang berhemat juga ditekankan untuk memastikan paras hutang kekal terkawal di bawah had statutory dan mengurangkan keperluan pinjaman kasar kerajaan,” katanya pada sesi Dewan Negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata Belanjawan 2026 turut memberi penekanan meningkatkan potensi pendapatan dan peluang ekonomi rakyat.
“Kerajaan memberi fokus dalam memperkukuh pelaburan strategik berimpak tinggi bagi melonjakkan tahap produktiviti dan daya saing negara melalui pelaburan dalam sektor strategik termasuk digitalisasi, pusat data, teknologi hijau dan infrastruktur sebagai penghubung yang menyokong rantaian bekalan industri,” katanya.
Katanya, dengan pendekatan tersebut dapat memastikan ekonomi negara kekal mampan serta mencapai sasaran pertumbuhan antara 4 hingga 4.5 peratus pada 2025.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin berhubung langkah kerajaan memastikan Belanjawan 2026 mampu mengimbangi antara pembangunan ekonomi dan tanggungjawab fiskal negara di Dewan Negara.