fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 fokus pendidikan dan kesihatan pacu pembangunan negara

Pensyarah Kanan Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff/RTM

ALOR SETAR, 5 Oktober – Peruntukan besar terhadap sektor pendidikan dan kesihatan dalam Belanjawan 2026 dilihat sebagai langkah strategik kerajaan dalam melahirkan modal insan berkualiti serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Abdul Rais Abdul Latiff berkata, tumpuan terhadap dua sektor utama itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh asas pembangunan negara dalam jangka panjang.

Menurutnya,menerusi sektor pendidikan, kerajaan terus berusaha mempromosikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menarik minat pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang sains dan teknologi yang penting kepada keperluan masa depan.

“Dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, ia mesti disokong oleh ekonomi yang stabil walaupun kerajaan berdepan ketidaktentuan geopolitik. Usaha dan dasar yang diperkenalkan perlu menjurus kepada pertumbuhan ekonomi mampan melalui pelaburan berkualiti,” katanya.

Dr Abdul Rais berkata, pelaksanaan dasar yang tersusun akan memberikan petunjuk positif kepada pembangunan ekonomi negara, selain memperkukuh keyakinan pelabur terhadap hala tuju kerajaan.

“Semua perkara ini mampu dicapai melalui tatakelola yang baik serta reformasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

"Pendekatan strategik kerajaan ialah memastikan semua program dan dasar yang telah dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan, termasuk menilai potensi pelaburan yang menjanjikan limpahan manfaat kepada rakyat,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan khas di konti radio KedahFM yang membincangkan topik “Strategi, Harapan dan Tindakan: Belanjawan 2026” di sini hari ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD