KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kerajaan komited bagi memastikan setiap rakyat diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan lebih baik.
Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM15 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Peluang Kedua pada tahun depan.
Dana itu bagi manfaat antaranya kepada 1,700 bekas penagih di pusat pemulihan penagihan narkotik, 3,000 bekas banduan wanita, ibu bapa tunggal, mangsa 'scam' dan projek terbengkalai.
Bawah program tersebut, mereka layak menerima, antaranya insentif mula niaga bagi menjana pendapatan semula.
"Sejak Mac 2023, 200,000 rakyat bebas daripada belenggu bankrap. Bagi membela ibu bapa tunggal yang menanggung anak, usahawan mikro yang terkesan krisis, mangsa 'scam', serta mangsa projek terbengkalai, Dasar Peluang Kedua Fast Track diperkenalkan untuk mempercepat proses melalui kaedah lebih ringkas dan bersasar."
Perdana Menteri turut menyeru lebih banyak syarikat swasta tampil menjayakan ikhtiar peluang kedua.
Sementara itu, kebajikan anak-anak kecil pelarian juga akan terus ditambah baik.
RM10 juta disediakan bagi melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian, di samping menaik taraf tiga Depot Tahanan Imigresen dan tiga Baitul Mahabbah sebagai Pusat Pengasingan Khas pelarian dan pemohon suaka (dewasa dan kanak-kanak).