KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025. namun pemberian subsidi itu kekal untuk 85 peratus rakyat Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak harus timbul sebarang kemusykilan dalam pendekatan penyasaran subsidi kerana kerajaan akan terus mempertahankan kepentingan rakyat terbanyak.
Jelasnya, setiap penyasaran subsidi adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok golongan elit maha kaya dan warga asing.
Untuk itu katanya kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah RM12 bilion, membabitkan keperluan 85 peratus rakyat.
"Kenyataan yang tidak dapat disangkal adalah bahawasanya, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna mahakaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai 8 bilion ringgit. Seyogia diperingatkan bahawa dana RM8 bilion ini lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.
Penjimatan yang dicapai daripada ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat," jelas Anwar dalam Pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI, di Parlimen, hari ini.
Sehingga kini, harga petrol RON95 Malaysia kekal dengan nilai RM2.05 berbanding Thailand (RM5.85), Indonesia (RM3.38), Singapura (RM9.02) dan Arab Saudi (RM2.66).
Tambah Anwar, kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 mencecah RM20 bilion, bagi tahun 2023.
Dalam pada itu, penyasaran subsidi diesel terbukti berjaya mengekang ketirisan. Langkah itu menyekat aktiviti penyeludupan selain penggunaan oleh sektor perniagaan tidak layak.
"Sejak dilaksanakan, jualan diesel bersubsidi menurun 30 peratus dengan penjimatan lebih RM600 juta sebulan meskipun subsidi masih disediakan untuk pengangkutan awam, nelayan dan sektor logistik," tambah Anwar.
Mengulas lanjut, berhubung penyasaran subsidi pendidikan dan kesihatan, Datuk Seri Anwar menjelaskan, hasil kutipan tersebut boleh dimanfaat untuk menambah baik prasarana di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).