KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap semua cadangan yang dikemukakan bagi sektor pembinaan akan dipertimbang di bawah Belanjawan 2024.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata cadangan itu bagi memastikan peranan sektor tersebut kekal signifikan dalam usaha membangunkan infrastruktur negara.
"Kebanyakan permintaan kita, kemungkinan besar akan dijawab esok."
"Kita ada bayangan yang belanjawan kali ini akan memperbaharui industri selain memastikan industri menjadi nadi penting dalam pembangunan negara," kata Alexander kepada pemberita dalam sidang media Majlis Perasmian MBAM OneBuild 2023, di ibu negara.
(Foto FB Menteri)
Kementerian itu menerima peruntukan lebih RM8.4 bilion pada Belanjawan 2023, meningkat 15 peratus berbanding belanjawan terdahulu.
Pameran industri pembinaan itu berlangsung tiga hari bermula semalam dengan penyertaan daripada 150 pempamer termasuk dari Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Singapura dan China.
Sementara itu, sektor pembinaan di Malaysia menerima pakai mekanisme dan teknologi baharu agar seiring permintaan masa kini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran teknologi yang dinamik.
"Industri pembinaan ini terdedah dengan teknologi yang hebat termasuk sains dan teknologi moden. Bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga perisian, teknologi pintar dan sebagainya," tambah Alexander.
Selain itu, beliau turut mengakui masih wujud kekurangan tenaga kerja asing dalam industri berkenaan.
Bagaimanapun, situasi tersebut bertambah baik hasil kerjasama kementeriannya dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terutamanya dalam tempoh mendapatkan pekerja asing.