fb fb fb fb fb

Belanjawan 2023 dibentang 7 Oktober, perubahan tiada kaitan PRU ke-15

KUALA LUMPUR, 26 Ogos- Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober akan dibentang tiga minggu lebih awal iaitu pada 7 Oktober depan.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menafikan perubahan tersebut ada kaitan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Jelas beliau, belanjawan itu akan dibentang pada sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 (2022) yang bermula pada 3 Oktober ini.

"Perdana Menteri guna kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pada pagi ini saya bentangkan kertas nota Kabinet untuk memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa tarikh itu telah ditukarkan, persidangan Dewan Rakyat ditukar kepada 3 Oktober, Belanjawan pula dibentang pada 7 Oktober," katanya ketika dihubungi RTM.

(Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar)

Jelas beliau, menurut takwim sebelum ini persidangan Dewan Rakyat sepatutnya bermula pada 26 Oktober hingga 15 Disember.

Manakala bagi Dewan Negara, persidangan bermula dari 8 hingga 21 Disember.

Perubahan takwim tersebut dilakukan bagi membolehkan pembentangan Belanjawan 2023 dipercepatkan.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan langkah mempercepatkan tarikh pembentangan belanjawan negara adalah perkara biasa.

Beliau menyatakannya ketika ditanya berkenaan beberapa laporan media sebelum itu yang mengatakan Belanjawan 2023 akan dibentangkan lebih awal.

"Perkara biasalah, dulu zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pernah buat (Belanjawan) bulan September," katanya selepas menyempurnakan pelancaran program USHAniaga Keluarga Malaysia.

Media Baharu