fb fb fb fb fb

Beku akaun bank bekas suami, bantu bekas isteri dapatkan hak mereka- Rina Harun

KOTA DAMANSARA, 20 Mac- Pengumuman pembekuan akaun bank bekas suami yang gagal memberi nafkah kepada bekas isteri disambut baik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Beliau berkata KPWKM akan cuba melaksanakan langkah itu pada tahun ini berdasarkan kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

Katanya, ia juga selaras dengan enam inisiatif bagi memperkasakan wanita selain membantu golongan itu mendapatkan hak mereka.

"Kalau kita lihat, ini bukan sekadar tugas dan tanggungjawab kementerian, bila kita sebut tadi, yang pertama tadi berkaitan dengan mahkamah syariah sudah, ia akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian dan juga agensi yang berkaitan, sebab ia melibatkan hal mahkamah, melibatkan hal tuntutan dan sebagainya. Jadi kita sebagai kementerian boleh membantu untuk menyelaraskan supaya mereka yang menjadi mangsa, mendapat hak mereka," katanya.

Rina ditemui selepas merasmikan Hospital Bersalin dan Poliklinik PUSRAWI di Kota Damansara.

Pada masa sama, beliau berkata tindakan kerajaan membenarkan wanita kematian suami bekerja dari rumah juga jelas menunjukkan keprihatinan terhadap golongan wanita yang dibebani dengan tanggungjawab besar.


(Datuk Seri Rina merasmikan Hospital Bersalin dan Poliklinik PUSRAWI di Kota Damansara)

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 mengumumkan akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

Perdana Menteri berkata, perkara itu antara yang diputuskan kerajaan sebagai pembelaan terhadap golongan wanita termasuk kes mahkamah yang dimenangi kaum hawa dalam kes tuntutan nafkah.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, isteri yang kematian suami diberikan kebenaran bekerja dari rumah sewaktu tempoh idah (empat bulan 10 hari) dan majikan tidak boleh memaksa mereka bekerja di pejabat sebagai menghormati keadaan mereka sehingga tamat idah.

Media Baharu