KUALA TERENGGANU, 26 Mei - Padah menggunakan jawatan mendapatkan suapan bagi dirinya, seorang bekas pengurus Bahagian Sumber Manusia dipenjara sehari dan didenda RM22,143, hari ini.
Tertuduh, Shahrizal Ridzuan Ambak, 48, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya sendiri dengan membuat pembekalan kad sim kepada 117 orang pekerja baharu warga India yang berjumlah RM4,428.60, pada Julai hingga September 2022 di Ladang Rakyat Terengganu, Kemaman.
Shahrizal didakwa mempunyai kepentingan bagi urusan berkenaan disebabkan ejen pembekalan kad sim tersebut adalah anaknya.
Tertuduh melakukan kesalahan bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10 ribu atau mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM22,143.
Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama lima bulan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hazwan Hamidun.