Bekalan tenaga negara kekal stabil

Foto RTM

KUCHING, 22 Mac – Bekalan tenaga negara kekal stabil meskipun berdepan ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan melalui Petronas merangka pelan alternatif bagi memastikan bekalan minyak dan gas mencukupi.
  • Subsidi bahan api diteruskan melalui BUDI MADANI RON95 dan BUDI Diesel untuk kurangkan beban rakyat, termasuk Sabah dan Sarawak.
  • Pemantauan dipergiat bagi membanteras penyeludupan bahan api supaya bekalan untuk rakyat tidak terjejas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menyatakan jaminan itu berkata, kerajaan menerusi Petronas merangka pelan alternatif bagi memastikan bekalan minyak dan gas mencukupi.

Jelasnya, kerajaan juga masih meneruskan pemberian subsidi bahan api itu bagi memastikan kenaikan harga yang berlaku ketika ini tidak membebankan rakyat.

“Setakat ini kita dapat bertahan dan subsidi menerusi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) masih diteruskan.

“Bagi diesel pula, selain rakyat di Sabah dan Sarawak, kumpulan tertentu (yang layak) turut menerima subsidi menerusi BUDI Diesel,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Rakyat sempena Aidilfitri anjuran Gabungan Penghulu dan Ketua Masyarakat Kawasan Petra Jaya, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menambah, pemantauan rapi bagi membanteras isu penyeludupan bahan api itu terus dipergiat bagi memastikan bekalan untuk rakyat tidak terjejas.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan subsidi kerajaan meningkat kepada RM3.2 bilion berbanding RM700 juta dalam tempoh kurang seminggu, susulan kenaikan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat.