KOTA KINABALU, 18 September – Bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah yang terputus sejak Sabtu lalu pulih sepenuhnya selepas talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud kembali beroperasi pada pukul 10.20 malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata, kejayaan itu hasil usaha petugas teknikal yang bertungkus lumus di lapangan sejak insiden berlaku.
“Terima kasih kepada semua wira di lapangan yang bekerja tanpa mengenal penat lelah, serta pengguna yang sabar sepanjang tempoh gangguan sehingga bekalan dapat dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Insiden berkenaan menyebabkan dua talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud terputus, sekali gus menjejaskan bekalan elektrik ke kawasan Pantai Timur termasuk Sandakan dan sekitarnya.
SESB menjelaskan talian itu sangat penting kerana menghubungkan Kampung Kolopis di Pantai Barat dengan Segaliud di Pantai Timur Sabah, bagi memastikan kelancaran serta kestabilan bekalan elektrik negeri.