
KUCHING, 5 April – Bekalan diesel negara ketika ini masih berada pada tahap stabil di bawah perancangan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
- Kerajaan mengambil langkah kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan diesel.
- PETRONAS akan mendapatkan sumber import, termasuk dari rantau Asia Pasifik, sekiranya bekalan domestik tidak mencukupi.
- Langkah import dijangka meningkatkan kos kerana harga global dan logistik, mampu mencecah AS$110 setong.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan tetap mengambil langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan, sekiranya bekalan domestik tidak mencukupi, PETRONAS akan mendapatkan sumber dari luar termasuk rantau Asia Pasifik.
Langkah itu dijangka meningkatkan kos susulan harga global dan faktor logistik.
“Kapasiti pengawalan memang di bawah PETRONAS tetapi yang lebih utama sekarang ini kita nak menyediakan sumber bekalan.
“Cuma kita kena berjaga-jaga. Sekiranya tidak mencukupi di Malaysia maka mereka akan cuba melihat di rantau Asia Pasifik dan juga tempat-tempat lain. Cabarannya adalah dari segi kos dan sudah pasti ia akan lebih daripada harga yang biasa”, katanya.
Harga global mampu meningkat sehingga mencecah AS$110 setong termasuk kos logistik untuk membawa masuk bekalan ke dalam negara.
Beliau ditemui media selepas Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Kampung Semariang Batu di Dewan KASBA, Petra Jaya di Kuching.