AYER KEROH, 24 Mac - Bekalan barangan keperluan asas seperti ayam, telur, daging dan santan di Melaka dijamin mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri, minggu depan.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Shin berkata, setakat ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan di pasaran.
"Dan pegawai pegawai penguat kuasa KPDN di seleuruh negara seumpama negeri Melaka ini juga ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar raya, pasar tani, pusat membeli belah dan sebagainya.
"Dan kementerian KPDN akan terus menjalinkan kerjasama kpdn dengan kementerian keterjaminan makanan bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal itu sentiasa mencukupi," kata Seah Shoo Shin kepada pemberita selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri, di sini.
Sementara itu, mengenai Op Pantau 2025, beliau berkata, KPDN Melaka telah memeriksa sebanyak 1,335 premis perniagaan bagi tempoh 2 Mac hingga 23 Mac.
Dalam tempoh itu sebanyak 92 aduan diterima dengan tiga kes berjaya dihasilkan bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 membabitkan kesalahan tidak meletak tanda harga dan senarai perkhidmatan serta caj yang dikenakan.
Selain satu kes melibatkan Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana memaparkan harga dan maklumat mengelirukan.