PUTRAJAYA, 5 Februari - Kekurangan bekalan beberapa bahan mentah seperti ayam dan telur yang sedang dialami pengguna ketika ini hanya bersifat sementara dan dijangka pulih sebaik industri yang terlibat kembali beroperasi selepas cuti panjang Tahun Baharu Cina.
Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamsul Nizam Khalil berkata, jangkaan itu mengambil kira ramai pekerja ladang ternakan dan pejabat bercuti panjang sempena perayaan itu.
Beliau berkata, menerusi pemantauan KPDNHEP, memang berlaku kekurangan bekalan bahan mentah di beberapa lokasi dalam negara yang berlaku kerana banyak faktor antaranya pihak
industri tidak dapat menampung permintaan yang tinggi dan disebabkan cuti panjang.
Shamsul Nizam berkata, selain kenaikan harga bahan mentah ketika ini dipengaruhi faktor permintaan dan penawaran dalam pasaran, ia juga banyak berkait dengan kos pengangkutan yang tinggi ketika negara mengimport bahan mentah dari luar negara.
Disebabkan itu, kerajaan perlu mengenakan harga kawalan walaupun tahu kawalan ini bukan sesuatu yang sihat untuk sepanjang masa.