PUTRAJAYA, 25 Februari- Sempena menyambut puasa tidak lama lagi, Perbadanan Putrajaya (PPj) akan akan memperkenalkan penggunaan pembungkusan daripada bahan biodegradasi atau boleh urai, selain menggalakkan pembeli membawa bekas masing-masing ke bazar Ramadan kendaliannya.
Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, ia memastikan semua peniaga bazar tidak lagi menggunakan plastik untuk membungkus makanan.
Selain itu, katanya tapak bazar Ramadan di Putrajaya akan dipantau setiap hari oleh pasukan petugas PPj bagi memastikan isu kebersihan dan keselamatan makanan yang terjadi sebelum ini tidak berulang
"Kadang-kadang peniaga sediakan (makanan) petang dan mungkin masa dihidang di luar kawalan. Untuk memastikan (kebersihan) kita sentiasa buat pemantauan dan sekiranya berlaku kita beri ingatan atau hentikan mereka daripada berniaga serta-merta.
"Kita akan pastikan dari segi kualiti penyediaan makanan itu baik," katanya.
Beliau berkata 700 peniaga bazar Ramadan akan diberikan taklimat minggu depan dari segi penyediaan makanan supaya bersih dan selamat.
Pada bulan puasa tahun lepas, tular video memaparkan mi berlauk sotong yang dikenali sebagai 'Mee Tonggek' berharga RM30 yang didakwa sudah berulat dan dibeli di bazar Ramadan Presint 3 Putrajaya.
Susulan itu, PPj mengeluarkan notis amaran kepada pengusaha gerai itu dan diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan (KKM).