Bayaran balik PTPTN boleh distruktur semula hingga umur 60

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Februari – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diberi tempoh tangguh bayaran balik sehingga dua tahun sekiranya tidak mempunyai pekerjaan atau pendapatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penstrukturan semula bayaran balik PTPTN dibenarkan mengikut kemampuan sehingga umur maksimum 60 tahun.
  • Peminjam tanpa pekerjaan atau pendapatan boleh ditangguh bayaran balik sehingga dua tahun atau hingga ada pendapatan.
  • Penangguhan juga diberi kepada peminjam yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli berkata di bawah dasar semasa, peminjam turut diberikan tempoh bertenang selama 12 bulan selepas tamat pengajian bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan dan pendapatan stabil.

“Bagi peminjam yang tidak berkemampuan membayar balik mengikut jadual, kemudahan penstrukturan semula bayaran dibenarkan mengikut kemampuan kewangan sehingga maksimum umur 60 tahun.

Selain itu, bagi peminjam yang tidak bekerja atau tiada pendapatan, penangguhan bayaran balik dibenarkan sehingga mempunyai pendapatan atau maksimum dua tahun,” katanya.

Menurut beliau, penangguhan bayaran balik turut dibenarkan kepada peminjam yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sepanjang tempoh pengajian baharu.

Adam berkata langkah itu selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang bertujuan mempersiapkan graduan menghadapi cabaran ekonomi serta memastikan peluang pekerjaan setara dengan kelayakan.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd Mutalib di Dewan Rakyat berhubung bantuan kepada graduan yang belum mendapat pekerjaan tetap serta pelajar daripada keluarga B40.

Menurutnya, akses pendidikan tinggi terus diberi keutamaan termasuk kepada pelajar B40, M40 dan orang kurang upaya (OKU).