fb fb fb fb fb

Bawa muatan berlebihan, syarikat lori didenda RM42,500

KANGAR, 25 Jun- Mahkamah Majistret Kangar menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM42,500 ke atas tiga pemilik syarikat lori yang mengaku bersalah membawa muatan secara berlebihan.

Majistret, Siti Nor Hasliza Md Ali menjatuhkan hukuman tersebut setelah ketiga-tiga pengendali berlesen atau pemilik syarikat pengangkutan tersebut mengaku bersalah.

Hukuman denda berkenaan berdasarkan hujahan daripada Pegawai Pendakwa JPJ Perlis yang memohon hukuman yang setimpal bagi kesalahan tersebut.

Kesalahan berkaitan membawa muatan secara berlebihan ini adalah satu kesalahan yang serius dan kesalahan yang kerap dilakukan oleh para pemandu dan pemilik syarikat pengangkutan terutamanya lori.


(Operasi dilaksanakan oleh JPJ Perlis)

Menurut fakta kes, ketiga-tiga Pengendali berlesen tersebut dikenakan tindakan saman bagi kesalahan membawa muatan secara berlebihan apabila mereka ditahan oleh pasukan operasi khas yang menjalankan operasi lebih muatan sekitar Perlis .

Setiap pemilik syarikat lori tersebut dikenakan denda masing-masing sebanyak diantara RM13,000 sehingga RM15,000.

Mereka dituduh dibawah Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD)2010 bagi kesalahan membawa muatan secara berlebihan dari had yang dibenarkan dan dihukum dibawah akta yang sama.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah memaklumkan, sepanjang Januari hingga semalam, pihaknya berjaya mendakwa sebanyak 15 orang pengusaha lori di mahkamah kerana melakukan kesalahan membawa muatan secara berlebihan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat.

Media Baharu