SINTOK, 25 Jun - Permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, seni budaya dan tarian tradisional perlu dimartabatkan kembali terutama di sekolah-sekolah melibatkan generasi kanak-kanak dan remaja.
Ini bagi memastikan permainan dan seni budaya yang pernah popular suatu ketika dahulu tidak hilang ditelan zaman.
Dekan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Azman Khamis berkata mutakhir ini golongan remaja dan kanak-kanak sering terdedah kepada permainan-permainan berasaskan teknologi moden menggunakan gajet, komputer dan sebagainya.
Katanya, keadaan itu menyebabkan permainan tradisional semakin ditinggalkan dan dilupakan.
“Lantaran itu, usaha untuk mengembalikan zaman kegemilangan permainan tradisional perlu dilakukan bagi memartabatkan semula permainan tradisional yang berjaya membentuk semangat kerjasama dan perpaduan dikalangan masyarakat khususnya Orang Melayu," katanya selepas merasmikan Program Budaya Seni Tradisional anjuran Pusat Budaya dan Seni UUM di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Tangga, di sini.
Seramai 50 orang murid darjah enam SK Felda Bukit Tangga menyertai program tersebut.