fb fb fb fb fb

Bas rempuh treler, pemandu cedera parah, 15 penumpang selamat

IPOH, 7 Oktober- Seorang pemandu bas ekspres cedera parah dan 15 penumpang terselamat apabila bas yang dinaiki merempuh belakang sebuah lori treler di Kilometer 264 Lebuhraya Utara Selatan di sini pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata insiden yang dipercayai berlaku pada pukul 2.28 pagi itu turut menyebabkan dua daripada 15 penumpang bas ekspres terbabit mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.30 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dikerah ke lokasi kejadian.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kami mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres telah melanggar belakang lori treler yang membawa muatan besi dan terdapat sebuah kereta terbabas di bahu jalan.

"Pemandu bas yang tersepit di bahagian tempat duduk hadapan telah berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua penumpang bas terbabit keluar sendiri dan diberikan rawatan oleh pihak ambulans. Operasi ditamatkan pada pukul 4.50 pagi.

Media Baharu