fb fb fb fb fb

Bas Klinik Kesihatan Bergerak akan diperluas ke seluruh Johor

KLUANG, 27 Ogos - Bas Klinik Kesihatan Bergerak dipertimbangkan untuk diperluaskan di seluruh negeri Johor bagi memberikan khidmat kesihatan dan rawatan kepada penduduk luar bandar khususnya kepada golongan B40.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata setakat ini, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan Layang-Layang menjadi projek rintis bagi perkhidmatan berkenaan yang akan bermula 1 September ini.

Katanya petugas kesihatan yang berkhidmat di bas tersebut terdiri daripada pelajar Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Inisiatif hasil kerjasama Yayasan Mohamed Noah, Kerajaan Johor UiTM itu juga dilengkapi perubatan dan pergigian yang mempunyai peralatan moden berteknologi tinggi bernilai kira-kira RM1.9 juta.

"Ini adalah program permulaan kita di kawasan ini. Kita akan lihat keberkesanannya dan jika ada permintaan, kita akan perluaskan program ini ke kawasan lain," kata Onn Hafiz di sini.

(Onn Hafiz ketika merasmikan Majlis Penyerahan Bas Klinik Kesihatan Bergerak
di Simpang Renggam, di sini)

Turut hadir Pemegang Amanah Yayasan Mohamed Noah Datuk Mohamed Nizam Tun Abdul Razak dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Prof Dr Mohd Sazili Shahibi.

Menurut Onn Hafiz Yayasan Mohamed Noah memilih Johor bagi menggunakan perkhidmatan tersebut kerana pengasasnya berasal dari negeri itu.

Media Baharu