fb fb fb fb fb

Bapa, dua anak lemas di Sungai Balak

FOTO BOMBA

KUALA LUMPUR, 5 Mei- Seorang bapa dan dua anaknya lemas ketika beriadah di Sungai Balak, Batang Kali, Selangor, tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mayat ketiga-tiga beranak itu ditemukan kira-kira pukul 1.35 tengah hari.

“Bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 1.09 tengah hari. Operasi mencari dan menyelamat membabitkan 12 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Baharu selain dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang.

"Berdasarkan laporan awal, tiga mangsa itu terdiri daripada seorang lelaki (bapa), anak perempuan berusia sembilan tahun dan anak lelaki berusia enam tahun," katanya dalam kenyataan.

Kesemua mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 30 meter (m) dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

Ketiga-tiganya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk tindakan lanjut.

SITI AISHAH MD ISA