fb fb fb fb fb

Michelle Yeoh terima Pingat Kebebasan Presiden di AS

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menganugerahkan Pingat Kebebasan Presiden kepada pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh/Foto REUTERS

WASHINGTON, 5 Mei - Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menganugerahkan Pingat Kebebasan Presiden kepada pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh dalam majlis rasmi di White House, semalam.

Pingat itu merupakan merupakan anugerah penghormatan tertinggi di AS selepas pencapaian aktres berusia 61 tahun itu menjadi wanita pertama Asia merangkul Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Oscar kali-95 di Hollywood, California pada tahun lalu.

Kejayaan itu dirangkul menerusi filem Everything Everywhere All at Once yang turut mendominasi Oscar dengan menggondol tujuh anugerah termasuk pengarah terbaik, suntingan terbaik, pelakon pembantu terbaik dan lakon layar terbaik.

Semasa majlis penyampaian pingat itu, Biden memuji kejayaan Michelle kerana berjaya memecahkan stereotaip sekali gus menonjolkan kepelbagaian budaya di Amerika.

“Peranan dan watak Yeoh mengatasi jantina, budaya dan bahasa. Daripada seni mempertahankan diri kepada filem komedi romantik dan fiksyen sains, semuanya menunjukkan persamaan yang kita kongsi bersama.

“Sebagai orang Asia pertama memenangi Oscar, Yeoh menghubungkan budaya yang bukan sahaja untuk menghiburkan tetapi menyuntik inspirasi dan menyedarkan ramai sehingga hari ini. Tahniah,” katanya.

Yeoh yang berasal dari Ipoh, Perak menerima pingat bersama 18 individu lain, yang berjaya meraih anugerah tertinggi dalam kalangan orang awam di AS.

Antara penerima lain adalah atlet renang AS, Katie Ledecky, Ketua Hak Asasi Sivil, Medgar Evers dan hos televisyen, Phil Donahue.

Pingat Kebebasan Presiden dianugerahkan kepada orang awam dan anggota tentera serta tidak terhad kepada warga AS sahaja. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN