fb fb fb fb fb

Orang asli terus didekati, pastikan peluang dan akses sukan digunakan

Hannah Yeoh

HULU SELANGOR, 5 Mei- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh terus berusaha mendekati masyarakat orang asli khususnya berkaitan perkembangan dan pembangunan sukan.

Perkara itu bagi memastikan golongan itu tidak tercicir selain dapat memastikan peluang dan akses bersukan boleh digunakan sebaiknya.

Ia sekali gus dapat menggalakkan pembangunan bakat baharu dalam kalangan masyarakat orang asli.

"Mereka suka main badminton, cuma kurang peralatan fasiliti di sini. Jadi saya telah mendengar daripada mereka, aktiviti mereka memancing, kemudian mereka yang kanak-kanak suka main bola sepak," katanya dalam Program santai anak muda dan masyarakat orang asli di Kampung Buluh Telur, di sini.

Majlis itu turut dihadiri bekas atlet bina badan negara Datuk Mike Mahen.

Mike juga pernah unggul sebagai juara bina badan dunia sebanyak enam kali.

Dalam pada itu, berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Hannah mahu semua golongan khususnya belia yang akan keluar mengundi menggunakan manfaat sebaiknya.

Tugas demokrasi itu perlu dilaksana dengan bijak demi kemajuan masyarakat setempat.

Sebarang usaha untuk menghasut belia supaya tidak keluar mengundi pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini, perlu ditepis.

"Boikot ini adalah usaha yang tidak membina apa-apa. Dia adalah suara pasif, suara negatif, jangan buat apa-apa. Kita semua tahu kalau kita nak membina semula, kita nak buat apa pun, kita kena aktif.

"Keluar dan gunakan hak itu untuk mengundi. Itu sebab kalau mereka duduk di rumah, pasif, boikot ia tidak akan menukar nasib apa-apa. Jangan buang hak itu," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI